Pasar raya, kedai perabot terbakar libat kerugian RM3j
KULIM - Sebuah pasar raya dan kedai perabot di Jalan Damai di sini musnah dalam satu kebakaran petang semalam melibatkan kerugian hampir RM3 juta.
Seramai 80 anggota bomba termasuk dari Butterworth dan Sungai Petani serta lima pasukan bomba sukarela dikerahkan ke tempat kejadian bagi mengawal kebakaran yang berlaku pada 1.15 tengah hari itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulim, Ahmad Ridwan Yahaya, memberitahu Bernama di lokasi, bahawa kebakaran dipercayai bermula dari kedai perabot itu dan merebak ke bangunan pasar raya yang berkembar dengannya.
Beliau berkata, ketika kejadian terdapat beberapa pekerja yang bertugas di kedua-dua premis tetapi mereka sempat menyelamatkan diri.
Katanya anggota bomba dapat mengawal api daripada merebak pada 2 petang semalam.
Bagaimanapun, bangunan bahagian kedai perabot itu keseluruhannya hangus dan sebahagian kecil sahaja bangunan pasar raya itu terselamat.
Punca kebakaran belum dapat dipastikan lagi.
Sinar Harian
15 Jun 2011
...................................
Atas suatu hal, aku terpaksa pulang ke rumah pada tengah hari itu. Ketika sampai di Kelang Lama, nampak dari kejauhan akan asap hitam yang naik berkepul-kepul ke udara.
"Ah! Sudah. Kedai mana pulak terbakar ni?" kata hati kecilku, kerana biasanya asap yang sebegini dihasilkan oleh kebakaran besar ataupun pembakaran getah.
Apabila menelusuri Jalan Tunku Putra dan menghampiri Dinas Nasi Kandar, kelihatan keadaan trafik sedikit sesak, mungkin kebakaran berlaku di salah satu kedai di Taman Pelangi itu?
Ada anggota sukarelawan? yang mengarahkan orang ramai supaya menjauhi kawasan kebakaran dan jangan berhenti atau memperlahankan kenderaan kerana akan mengganggu aliran trafik.
Walaupun demikian, ada juga, khususnya penunggang motosikal yang berhenti untuk mengambil gambar atau merakamkan kebakaran yang sedang berlaku itu dengan telefon bimbit mereka. Mungkin ada yang memuatkan rakaman itu ke youtube. Bolehlah tuan-puan cari di sana.
Kelihatan pekerja-pekerja pasar raya yang berada di luar premis, menyelamatkan diri mereka. Aku berkira-kira di manakah agaknya mereka akan bekerja selepas ini.
Aku tiada pilihan melainkan terpaksa bergerak terus supaya tidak mengganggu aliran trafik. Jam menunjukkan kira-kira 1:17 tengah hari.
Apabila melihat kepada artikel di atas, nyatalah bahawa kebakaran baharu sahaja bermula ketika aku melewati kawasan tersebut.
Aku berharap di kalangan orang ramai yang berkerumun di hadapan lokasi kebakaran itu ada yang mengumandangkan azan. Aku hanya dapat azan di dalam kereta sahaja sambil bergerak perlahan-lahan melewati lokasi kebakaran.
(dipetik dari Kitab Muntakhab Hadis, Bab Solat, seksyen Solat Berjamaah, hadis ke-57).
Baru-baru ini, aku ada menemui seorang warga asing yang bekerja di pasar raya tersebut, katanya beliau akan dihantar bekerja di cawangan lain buat sementara waktu ini, dan akan kembali bekerja di pasar raya tersebut setelah kerja-kerja membaikpulih premis itu selesai (mungkin pada awal tahun depan) . Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment