Monday, February 28, 2011

rezeki jangan risau

Suatu ketika, Saiyidina Ali karramallahu wajhah sedang dalam perjalanan bersama kudanya, lalu tiba di satu masjid. Beliau berkeinginan untuk singgah bersolat di masjid itu. Beliau mencari tempat untuk menambat kudanya tetapi nampaknya tiada tempat untuk menambat kuda. Beliau mendapati ada seorang lelaki berhampiran situ, lalu beliau meminta bantuan lelaki itu untuk tolong memegang tali kudanya sementara beliau bersolat.

Setelah Saiyidina Ali karramallahu wajhah selesai bersolat dan dalam perjalanan keluar daripada masjid, beliau berfikir untuk memberi hadiah 2 dirham kepada lelaki itu sebagai tanda terima kasih kerana menolong menjaga kudanya. Tiba di luar, Saiyidina Ali karramallahu wajhah mendapati lelaki itu telah tiada, begitu juga dengan pelana kudanya.

Saiyidina Ali karramallahu wajhah meneruskan perjalanannya. Beliau kemudian tiba di satu kedai menjual kelengkapan berkuda, dan mendapati pelananya ada tergantung di situ. Beliau bertanya kepada tuan kedai perihal pelana tersebut. Kata tuan kedai, pelana itu baharu sahaja dijual kepadanya oleh seorang lelaki dengan harga 2 dirham.

Lihatlah tuan-tuan, kalaulah lelaki itu bersabar sedikit, pastilah ia memperolehi rezeki 2 dirham yang telah ditakdirkan oleh Allah kepadanya secara halal. Malangnya beliau memilih untuk mencari rezeki secara haram.