Tuesday, March 31, 2020

Pergerakan Jemaah Mac 2020

Tiada jemaah keluar dan masuk susulan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 16 Mac 2020


3H Keluar
0

Jemaah Masuk
40Hari Germany 12,13 Mac -  Masjid Keladi
Rut seterusnya yang dirancang ialah Surau Kg Tok Rasul dan Surau Kg Pondok Labu. walaubagaimanapun, jemaah telah diarahkan pulang ke Jerman kerana Jerman akan menutup pintu masuk dalam masa terdekat.

Tuesday, March 3, 2020

Jemaah Jalan Kaki Dulu dulu

http://musakolakedah.blogspot.com/2010/05/jemaah-jalan-kaki-dulu-dulu.html

Ahad, 30 Mei 2010

JEMAAH JALAN KAKI DULU-DULU

Bismillahirrohmanirrohim,

Kali ini aku akan ceritakan pada kalian tentang pengalaman aku keluar 4 bulan Jalan Kaki atau bahasa Urdu “Pedal Jamat”, dalam tahun 1980 iaitu jemaah ketiga 4 bulan jalan kaki di Malaysia. 

Sejarah bermulanya Pedal jamat ini, ia telah diputuskan oleh Hadrat Ji kalau tidak silap aku, jemaah pertama yang keluar dari kuala Lumpur pada Nov 1979 hingga April 1980 ke Pulau pinang. Jemaah kedua dari Pulau pinang April 1980 hingga ke Terangganu Nov 1980, jemaah ketiga Nov 1980 hingga April 1981 yang bergerak dari Kuala Terangganu ke Penanti Seberang Perai, ini adalah jemaah aku sendiri. 

Selepas itu beberapa tahun kemudian (aku tidak ingat tahun bila) pengeluaran jemaah jalan kaki telah diberhentikan oleh Nizamudin kerana jazbah orang Malaysia untuk keluar jalan kaki sangat tinggi sehingga mereka melanggar tertib usaha mulia Nabi saw, hingga mendatangkan fitnah kepada usaha yang mulia ini. 

Berkat doa orang tua-tua kita, sekarang Alhamdulillah jemaah jalan kaki telah dibentuk semula tetapi hanya untuk masa dua bulan sahaja dan mesti melalui tafakut dengan mengikut syarat-syarat yang telah diputuskan oleh Nizamudin. Antara syaratnya ialah

1. Sudah kahwin (Duda dibenarkan)
2. Sudah keluar 4 bulan IPB
3. Sudah keluar 40 hari 5 kali dan pergi 5 markas
4. Umur 40 tahun ke atas
5. Keluar 40 hari 2 tahun berturut-turut
6. Sehat tubuh badan

Itu adalah syarat-syaratnya, jika ada salah atau tambahan sila betulkan.

Masa aku keluar dahulu tidak ada apa-apa syaratpun yang ditanya, Cuma apa yang ditanya “tuan nak keluar berapa lama, itu sahaja, Jika masa dulu ada syarat ini aku rasa tidak ada satu jemaah jalan kaki pun yang dapat dibentuk. Tetapi elders kita di Nizamudin mereka memutus sesuatu perkara mengikut kemampuan kita, sekarang usaha sudah maju dan ramai orang yang sudah layak untuk memenuhi apa sahaja syarat yang diletakkan oleh elders kita, baik usaha lelaki mahu pun masturat, sama ada dalam negeri, Negara jiran atau pun Negara jauh semuanya dapat dipenuhi. Sebab itulah kita selalu kena buat hubungan dengan elders di Nizamudin dan belajar taat dengan mereka, mereka adalah orang-orang yang telah memberi masa , diri dan harta seumur hidup mereka pada Allah, dan jangan sekali-kali dalam hati kita ada sangka buruk pada mereka, mereka adalah orang-orang pilihan Allah swt bagi menyambung kerja nabi saw.

Jemaah aku ada 12 orang, amer jemaah Tuan Haji Harun dari Tanah Merah Kelantan, orangnya tegas dan mengikut usul kerja dakwah dengan baik, pembantu kanannya ialah Ismail Korban dari Kuala Lumpur. Jemaah ini telah berjalan kaki setiap hari, kami hanya berusaha satu hari sahaja setiap masjid atau surau yang kami pergi. Ini disebabkan jarak yang jauh iaitu dari Kuala Terangganu ke Penanti, dan mesti sampai di Penanti tepat dengan masa Ijtimak bulan April. Kata ulamak kekuatan jemaah jalan kaki ini terletak dalam mujahadah jalannya.

Dulu kita ada 3 kali ijtimak tahunan, iaitu masa cuti sekolah. April, Ogos dan November setiap tahun. Ijtimak terakhir yang dibuat di Malaysia ialah Ijtimak Dengkil, Selangor pada Nov 1991. Selepas itu sudah tiada lagi ijtimak, yang adapun Cuma Jor peringkat Zon sahaja bagi mengeluarkan jemaah. 

Apabila Markas Seri Petaling siap dalam tahun 1992 (jika aku tidak silap, malam pertama pembukaan “malam markas” aku turut hadir) semua urusan pengeluaran jemaah 40 hari keatas mesti datang ke Seri Petaling untuk mendapat bayan hidayat dan bila tamat tempoh dan pulang tangguh mesti datang ke Seri Petaling untuk karkuzari dan bayan wapsi.

Berbalik pada cerita asal aku, route kami ialah, dari Kuala Terangganu , masuk Pahang sampai ke gugusan Felda Jengka dimulakan denganSungai Nerek, Jengka 23 (aku lupa bilangan jengka) habis semua gugusan jengka , masuk Jerantut kemudian menghala ke Raub, dari Raub ke Bukit Fraser ( 2 hari di BF) kemudian ke Kuala Kubu, dari Kuala Kubu ke Ipoh ikut jalan raya ( Lebuh Raya Utara Selatan belum wujud lagi), dari Ipoh ke Taiping, kemudian ikut arah Selama Perak, Selama Kedah, masuk Bandar Baharu ke Kulim, kemudian naik feri ke Pulau Pinang (di sini kami terpaksa naik feri sebab kami tak boleh jalan kaki di atas air macam sahabat, bayangkan bagaimana kalau kami pun boleh berjalan atas air macam sahabat berjalan, aku ingat lepas itu semua kami jadi kaya sebab orang ramai akan datang minta buat ubat sebab pelik, orang berjalan atas air) , dari Pulau Pinang terus Ke Penanti. Sampai di Penanti elok-elok 2 @ 3 hari sebelum ijtimak dan duit pun turut habis.

Belanja 4 bulan jalan kaki, aku bawa RM120, belanja satu hari satu ringgit sahaja, tentu para pembaca hairan bukan?, mesti ingat tidak cukup. Sebenarnya cukup, dengan seringgit kami kumpul 12 orang dapat RM 12 sehari, barangan masih murah masa itu, dengan RM 12 orang khidmat boleh beli beras , ikan (basah/kering), teh, susu, gula, roti makan petang, dan juga makan pagi. Makan 4 kali sehari, makan tengah hari, malam dan pagi mesti makan berat sebab perlu tenaga yang banyak untuk berjalan. Makan tengah hari dan malam sekali masak sahaja, sebab susah hendak masak. Aku akan ceritakan bagaimana tugas orang khidmat dari awal.

Sampai sahaja di masjid setelah berjalan lebih dari 10 batu (bukan Kilometer, masa itu SI unit belum guna lagi) setiap hari. Biasanya kita akan sampai sekitar jam 12 tengah hari sudah hampir Zohor (masa itu jam belum ubah ikut Sabah/Sarawak), Zohor dalam pukul 12.40 tengahari. Setelah berdoa di hadapan masjid terus amer memutus 2 orang khidmat, kemudian 2 orang ini terus pergi ke kedai untuk mencari bahan masakan, ingat masa itu di kawasan kampong, mana ada barang-barang segar dan kedai pun hanya satu sahaja itu pun jenuh mencari, jumpa sahaja terus beli barang, bisanya jam 12 tengah hari mana ada ikan basah, yang adapun Cuma yang mata sudah merah atau tidak elok lagi lah. Jadi tiada pilihan ikut rezekilah, kadang-kadang ada ikan masin (inilah yang kerap).

Setelah siap membeli barang, pulang ke masjid terus buka bungkusan set taam yang hitam dan periuk pula lagi hitam legam. Orang pertama menyediakan barang saperti potong sayur dan basuh beras dan sebagainya, api belum ada lagi. Orang kedua pula tugasnya mencari kayu api, setelah kumpul kayu di sekitar masjid barulah mula masak, Selepas zohor lebih kurang setengah jam baru boleh makan, keadaan jemaah ketika itu memanglah letih dan lapar, itu belum kira kena marah dengan imam dan AJK lagi dan Bapak Polisi yang sentiasa mengikut kami dan merekodkan nama kami dan disimpan di Balai Polis. 

Orang khidmat semua sudah faham apa menu dan banyak mana makanan yang mesti disiapkan, nasi mestilah banyak, kuah mesti banyak selalunya kuah kari cair tidak pakai santan tetapi pakai susu pekat ganti santan, sebabnya susah untuk mencari kelapa parut. Kari yang kita masak ikut rezeki, ikan basah (jarang-jarang), ikan masin (selalu) dan kadang-kadang ubi kentang sahaja tanpa lauk sebab tidak ada apa yang boleh dibeli.

Jemaah kami biasanya akan bertolak pagi hari selepas solat subuh, ini disebabkan perjalanan yang jauh, purata berjalan setiap hari 10 batu (dulu belum guna kilometer). Jadi orang Taam ini banyak mujahadah, sarapan sebelum subuh, sama saperti makan sahur pula, Jadi selepas tahajud terus masak untuk makan pagi. Tetapi kebanyakkan kami sebelum tidur sudah siap masak, biasanya nasi lemak, jadi, sebelum subuh itu cuma jerang air untuk buat kopi atau teh O sahaja. 

Pernah terjadi masa aku khidmat, kawan aku telah jerang air kemudian masuk kopi dan gula ke dalam air dalam keadaan gelap selepas tahajud, dan makan pun sebelum subuh, bila dihidangkan, bila minum kopi, masya Allah masinnya, rupanya kawan aku telah tersalah bekas, rupanya dia ambil bekas garam disangkanya gula. Tetapi seorang ahli jemaah pun tidak komplen. 

Aku dapat rasakan semasa buat khidmat taam ini perasaan kita berlainan dari hari yang lain, baca Quran keluar air mata, solat keluar air mata, zikir keluar air mata, kalau doa tahajjud masya Allah lagi lah nangis sungguh-sungguh.

Aku pendekkan ceritalah, sebab sekarang aku ini jadi orang yang rileks, fikir banyak sangat sakit kepala, buat ghast pun Cuma boleh jalan dekat sahaja, dah tidak boleh jalan jauh dah, Ini aku nak cerita perkara pelik berlaku pada jemaah kami.

1. Semasa kami mendaki Bukit Fraser jarak dari Raub 26 batu mendaki sampai ke puncak Bukit Fraser, bertolak jam 7 pagi, masa itu Raub kawasan “Curfew” perintah berkurung 7 pagi hingga 7 malam, kawasan komunis. 

Semasa berjalan setiap orang membawa sebungkus makanan masing-masing, set taam pula diagihkan setiap orang membawanya, di sinilah aku lihat bagaimana setiap orang beramal dengan 6 sifat sahabat dengan baik dan tidak mementing diri sendiri, saling bantu membantu. 

Terjadi aku lihat seorang tu dia sangat lapar, makanannya telah habis, bila ini dilihat oleh sahabatnya yang lapar juga tetapi dia masih ada sedikit makanan untuk dirinya pun tidak cukup tetapi dia telah ikram sahabatnya makan bersama. 

Semasa berjalan ini jika kita dahaga, hanya minum air sungai yang mengalir di tepi jalan sahaja. Masa berjalan itu macam-macam perkara berlaku pada setiap orang. Aku sendiri mengalami satu pengalaman yang tidak dapat lagi aku rasai hingga sekarang iaitu, apabila perjalanan sudah hampir ke puncak aku dah terlalu letih, hingga tidak ada tenaga untuk berjalan hatta bersuara pun aku dak tak mampu, langkah aku menjadi semakin lemah dan kepala aku terasa bagai nak pitam, semakin lama semakin lemah, hati aku ketika itu hanya ingat pada Allah sahaja, setiap langkah aku bermula daripada Raub hingga saat itu hanya dihabiskan dengan muzakarah 6 sifat, baca Quran dan zikir sahaja, aku masih ingat lagi, bila aku angkat kaki melangkah, aku rasa ini adalah langkahan aku yang terakhir sebelum aku rebah ke bumi. Masa itu mata aku sudah gelap, tetapi tiba-tiba aku terasa satu tiupan bayu yang sejuk datang dari arah luar bukit, hembusannya begitu syahdu, sejuk, dan masuk ke dalam kalbuku, serta merta badan aku menjadi segar dan hilang segala keletihan seolah –olah aku rasa saperti baru sahaja memulakan perjalanan. Aku menceritakan kesah ini pada kawan aku dan bertanya adakah dia merasakan bayu saperti aku rasakan , dijawabnya tidak rasa apa-apa bayu pun. Ini adalah anugerah Allah pada aku, syukur Alhamdulillah. Semasa mendaki BF abang Hamzah dari Jerantut dia nusroh jemaah kami beberapa hari, dia pengsan di tengah jalan.

2. Dalam perjalanan ke Bukit Fraser ini ada dua orang tua umur lingkungan 60an mereka ini tidak tahu membaca dan menulis, bercakap Bahasa Melayu standard pun tidak tahu, orang Kelantan, amalan mereka hebat mengalah orang lain,mereka ini berjalan dengan hanya membaca 10 surah, seorang baca seorang mendengar dan sebaliknya hingga habis 10 surah kemudian ulang semula, mereka berjalan sehinggalah terlepas arah jalan ke BF dan terus ke Kuala Kubu Baharu, jaraknya lebih kurang 50 batu dan sampai di sana sebelum maghrib dalam keadaan yang sehat tanpa letih.

3. Masih lagi di BF, kami semua sampai tidak sama masanya, setelah makan, rehat, besok pagi kami mesyuarat dan hantar orang khususi ketua Balai Polis di BF, laporan yang kami terima dari orang khususi menyatakan, Tuan OCPD memberitahu, semalam orang-orang Cina BF telefonnya memberitahu mereka melihat ramai orang arab datang dengan pedang (kami pakai tongkat) menaiki Bukit Fraser. Banyak lagi kesah dalam perjalanan ke Bukit Fraser saperti kesah seekor monyet dengan kami.

4. Ramai orang Tanya kami, kami tidak kena hujan semasa kami berjalan, tetapi aku kata memanglah kami tidak kena hujan sebab hujan tidak pernah turun semasa kami berjalan, tetapi yang kerap terjadi bila sahaja kami sampai di masjid dan masuk ke dalam masjid barulah hujan turun dengan tiba-tiba dan lebatnya seolah-olah ia sudah lama turun.

5. Semasa berjalan sebelum masuk kampong semua binatang, saperti ayam berkokok , anjing menyalak dan binatang saperti lembu ia mendongak ke atas dan memerhati kami, ekornya terpacak ke atas.

6. Semasa kami di kawasan Selama ada sekumpulan lembu peliharaan lebih kurang 100 ekor telah berlari-lari mengikut kami dan mencium jalan bekas tapak kaki kami serta mencium jalan di hadapan kami dengan keadaan mereka seolah-olah pelik dan tercengang sambil ekor mereka terpacak ke atas dan berlari ke depan dan belakang sambil mengikut kami dengan jarak yang agak jauh juga.

7 . Hari itu adalah hari Maulidur Rasul, kami dalam perjalanan ke Kuala Kangsar, bila sampai di Kuala Kangsar, ramai orang beratur dikiri kanan jalan untuk menyambut orang kenamaan sempena Maulidur Rasul, cuba bayangkan kami jalan di tengah-tengah mereka, seolah-oalah kami ini orang yang disambut, sambil membawa periuk hitam, belanga hitam, aku bawa baldi yang diisi dalamnya cawan, sudip dan senduk yang terjulur ke luar, baldi ini diikat dibahagian belakang aku. Semua orang memerhati jemaah kami, Allahu akbar, bagaimana perasaan ketika itu, aku hanya berdoa pada Allah semoga semua orang yang melihat kami ini mendapat hidayah Allah. 

Pada waktu malam Tuan Mufti mereka berceramah tentang Maulidur Rasul dan memberitahu bahawa siang tadi beliau melihat jemaah tabligh sedang berjalan menuju ke Kuala Kangsar seramai 120 orang, sedangkan kami hanya 12 orang sahaja, Wallahu a'lam.

AL Fakir musa kola kedah.

Awal Bermula

http://musakolakedah.blogspot.com/2010/05/mki-masihkah-kau-ingat.html

Sabtu, 8 Mei 2010

MKI ( MASIHKAH KAU INGAT )

KESAH PERMULAAN BAGAIMANA AKU MULA DIBAWA DALAM USAHA AGAMA NABI SAW

Bismillahirrohmanirrohim

Kesah ini bermula lewat tahun 70an, ketika itu aku belajar di Sekolah Menengah Jitra di tingkatan enam rendah . Aku tinggal di rumah sewa bersama empat orang kawan, aku, Ku Abdul Halim, Harun dan Azizan. 

Rumah sewa kami di tepi sungai, Sungai Korok dalam Pekan Jitra, jarak rumah kami dengan sekolah lebih kurang 500m dan dari masjid daerah jitra juga lebih kurang 500m, masjid ini sekarang tidak lagi menjadi masjid daerah kerana masjid daerah telah dibina baharu di tempat lain. Masjid ini pernah menjadi markas jemaah tabligh seketika dulu. 

Kami berempat setiap hari berjalan kaki berulang ke masjid setiap kali solat fardhu. Pada bulan puasa kami tutup dapor dan periuk sebab di masjid tiap-tiap hari ada kenduri berbuka puasa, jadi makanan itu juga kami simpan guna untuk sahur.

Di Jitra waktu itu ada sebuah sekolah swasta di Lorong Alif, pengusahanya Cikgu Osman iaitu guru saya di SMJ. Di sekolah itu ada seorang guru bernama Cikgu Anuar (sekarang kerja dgn TM), ia sudah keluar dakwah selama 4 bulan di IndiaPakistan dan Bangladesh kalau tak silap tahun 1978. 

Cikgu Anuar ini dia suka berbual dengan kami dan bercerita tentang usaha dakwah. Kami suka mendengar ceritanya kerana ada perkara baharu yang belum pernah kami dengar, terutama cerita tentang ulamak-ulamak yang membuat usaha agama seperti sahabat Nabi saw. Cerita tentang pengalamannya di IPB dan banyak cerita-cerita sahabat yang diceritakan kepada kami. Akhir sekali beliau telah memberi kepada kami kitab “FADZILAT SALAT” kulit bewarna hijau. Inilah detik permulaan kami dalam penglibatan dalam usaha agama Allah swt.

Mula-mula kami disuruh membaca kitab ini satu atau dua hadis selepas solat asar setiap hari, jadi setiap hari kami akan bergilir-gilir membacanya setiap hari selepas asar di masjid. Lepas itu dia memberi kelebihan kepada kami agar dapat dibaca di rumah sewa kami pula, jadi dengan kitab yang sama, kami bacalah kat rumah sewa selepas pulang dari masjid selepas solat isyak. Kitab ini kami simpan di rumah kami kerana ada suatu ketika kami simpan di masjid ia hilang diambil orang . 

Perbuatan kami berempat berulang alik ke masjid ini rupanya menjadi perhatian orang kampong di situ dan mereka amatlah suka kepada kami hingga ada satu keluarga tu anaknya dari tak pandai solat jadi pandai dan tidak tinggal solat dan setiap kali pulang kerumahnya mesti ia memberi salam terlebih dahulu sebelum masuk rumah.

Seterusnya apabila kami sudah istiqomah membaca hadis di masjid dan rumah, Cikgu Anuar mula mengajak kami ke Markas Tabligh yang terletak di Tanjung Pauh lebih kurang 4 Km dari Jitra. Masjidnya waktu itu kecil sahaja, sekarang dan jadi masjid baharu dan besar. Aku dan Ku Abd Halim menyahut ajakan terus pergi, sementara Azizan dan Harun mereka tidak bersedia untuk pergi ke markas (Sehingga sekarang pun bila aku bawa jemaah khususi untuk ajak mereka buat usaha agama masih juga tak bersedia ) . Cikgu Anuar datang mengambil kami dengan keretanya ke markas.

Di markas aku melihat satu suasana yang mana orang yang datang kebanyakannya sudah tua-tua, waktu itu yang aku ingat orang muda, aku, Ku Halim dan Khalid yang masih bersekolah, hadir malam markas antara 20 hingga 30 orang. Selepas asar hari khamis di markas , seorang telah diberi tugas untuk memberi adab “Ghast”, dalam ceramahnya aku tak faham beberapa sebutan yang pertama kali aku dengar antaranya ialah “Gasht”, “Bayan”, “Mutakallim”. Amer sab”, “Rahbar” “Tashkil” “Iklan” “Takril””istiqbal”. 

Aku mendengar penjelasan yang diberi dengan sungguh-sungguh, apabila habis penerangan diberi dia terus bertanya siapa yang nak jadi mutakallim, kemudian rahbar lepas tu, takril dan lepas tu bayan, Tahukah anda setiap kali dia bertanya siapa sanggup nak jadi saperti di atas, akulah orang yang pertama mengangkat tangan menyahut panggilan untuk menjalankan tugas yang mana langsung aku tak faham apa-apa. Aku bersyukur kepada Allah kerana waktu tu Allah telah terima kesanggupan aku untuk menjalankan tugas yang aku tak faham tu sampailah sekarang, Alhamdulillah, sebagaimana ketika aku berusia 10 tahun jemaah tabligh India Maulana datang ke kampong aku di Kuala Kedah dalam tahun 1970, apabila diminta nama untuk keluar 4 bulan aku telah berdiri memberi nama aku, walaupun masih ku ingat waktu itu aku duduk di belakang sekali dan tidak faham apa-apa , kemudian selepas 10 tahun aku memberi azam, dalam 1980 aku telah diberi Allah untuk keluar 4 bulan di jalan Allah swt.

Di markas setiap kali program yang dibuat aku kaji dan lihat bagaimana semua orang tak kira tua atau muda semuanya patuh pada satu arahan sahaja daripada satu orang yang dipanggil “amer”. Lepas maghrib bayan diadakan, dan aku duduk di hadapan sekali mendengar ucapan-ucapan yang diucapkan oleh penceramah, yang mana jalan ceritanya menarik, penyampaiannya bersahaja penuh fikir dan menyentuh hati sanubariku, ceritanya hanya tentang perjuangan Nabi dan sahabat-sahabatnya, tanpa ku sedari air mataku bercucuran dipipiku terus ke daguku dan menitis di ribaku. (Janggut belum tumbuh lagi, masih muda). 

Penceramah langsung tidak menyentuh peribadi sesiapa dari kalangan manusia yang hidup atau sudah mati yang boleh menjatuhkan maruah mereka apatah lagi mencela mereka tidak sama sekali, ini amatlah membuat aku kagum, ceramah yang panjang dan tidak ada satu bentuk humor yang boleh diketawakan pun tidak ada, suasanya penuh kesyahduan. Sebelum inipun aku pernah mendengar ceramah tentang perjuangan Nabi dan sahabat dari program lain samada politik atau lain-lain pergerakan, ceramahnya amatlah berlainan sekali, tak payahlah aku sebut di mana perbezaannya.


Selepas selesai bayan dan orang memberi nama termasuk aku untuk keluar jalan Allah, solat Isyak , kemudian program tamat dengan bacaan kesah hidup para sahabat Nabi saw. Sebelum itu diberi adab tidur cara Nabi saw tidur, pertama kali aku dengar dan terus aku amalkan. Selesai semua program tibalah masa makan malam, kami berdua tidak membawa makanan, jadi merekalah telah ikrom kami makan malam, nama yang tidak boleh aku lupa dalam memberi makan ini ialah Allahyarham Bang Li, Allahyarham Pak Yob, Allahyarham Hj. Sirat Pak Haji Awal (capati /roti waktu pagi).

Selepas itu setiap minggu kami tidak pernah lepas peluang datang ke markas, sama ada mereka ambil atau berjalan kaki 4 Km ke markas setiap khamis petang lepas asar, orang yang biasa mengambil kami untuk ke markas ialah Cikgu Yaakob dan Tuan Hj Marwan ( Bendahari UiTM Shah Alam). Hj Marwan yang banyak menasihati kami tentang kepentingan menjaga pelajar dan belajar dengan rajin, beliau merupakan jemaah pelajar dari Malaysia yang pertama keluar 4 Bulan ke IPB bersama Tn Hj Salleh Mubin (Tabung Haji), Hj.Mohd Amin (UTM Skudai), Dr. Khaider (UPM-Fizik, pensyarah aku) dan lain-lain aku dah tak ingat nama mereka).

Tahap ketiga adalah mereka mengajak kami keluar satu hari setengah nisab pelajar, Alhamdulillah kami berdua tidak lepas peluang untuk keluar, amer jemaah kami yang mula masa itu ialah Allahyarham Hj Ramli (Bang Li). Aku budak baru belajar, pertama kali keluar tetapi aku mempunyai kesanggupan untuk membuat semua perkara yang ada di dalam usaha tabligh masa itu, dari khidmat taam sampailah ke bayan, semuanya aku sanggup buat. Tapi apa yang diputuskan untuk aku buat ialah duduk dalam taklim 4 jam dan kena hafal hadis yang didengar dengan sempurna termasuk perawinya, malam sebelum tidor dalam program muhasabah amer mahu aku hafal 3 doa masnun amalan harian dan dibaca di hadapannya. Apa lagi aku buatlah apa yang disuruh dan berjaya melakukannya, beginilah setiap kali keluar kena hafal doa, kemudian adalah peningkatannya, membuat khususi, mutakallim, khidmat dan semuanya kecuali amer jemaah sahaja aku tak jadi. Banyak doa masnun yang aku amal sekarang pun merupakan dari hafalan tersebut. Sekarang hati dah benak nak menghafal cepat lupa, (Tanda dah tua).

Di sekolah, selepas kami sudah belajar keluar dakwah satu hari maka fikir aku dan Ku Abd Halim dah bertambah. Kami mula fikir bagaimana kawan –kawan sekelas dengan kami dapat mengambil usaha Nabi saw. Kelas kami adalah kelas sains, jadi semuanya kaki ulat buku, termasuk Ku Abd Halim ini juga ulat buku, tapi aku separuh ulat buku sahaja, jadi aku tak lepas peluang, nampak sahaja member rehat aku cerita tentang usaha agama pada mereka setiap hari. 

Dugaan masa itu memanglah banyak , guru-guru pandang serong pada kami, mereka kata kami sesat ikut tabligh India, tapi aku buat bodoh aje, teruskan usaha dengan jostnya . Masa berlalu dengan cepat namun tiada seorang pun dari kawan sekelas yang mahu ikut kami untuk ke markas apatah lagi mahu keluar, tapi aku tetap sabar.

Masa untuk berpisah dah semakin hampir apabila peperiksaan STP bermula, masa inilah kerisauan aku semakin bertambah dan aku luahkan kerisauan ini pada sahabatku Ku Abd Halim, kataku “Halim, kita dah nak habis belajar dah dan akan berpisah, kawan-kawan kita seorang pun tidak mahu keluar di jalan Allah, nanti aku takut bila kita mati Allah akan soal kita atas perkara ini, mailah kita buat sesuatu macam mana nak bagi depa ikut usaha Nabi saw” . Kawan aku ini dia slow and steady, buat kerja dengan fikir.

Aku cadangkan padanya supaya dapat buat perhimpunan kecil di rumah sewa kami dengan melibatkan orang awam untuk memberi penerangan yang lebih baik, setelah bermesyuarat dengan orang markas maka mereka bersetuju untuk datang dan menyediakan sedikit makanan, masa itu peperiksaan STP baru bermula. 

Aku dan sahabat aku ini setiap kali apabila habis sahaja paper yang diambil kami akan duduk bersama kekawan yang sebuk tengah bincang soalan terus sahaja terangkan kepentingan usaha agama dan ajak mereka untuk hadiri perhimpunan di rumah kami. Beginilah keadaan kami sebuk dakwah di tengah peperiksaan STP yang sedang dijalankan sehinggalah di hari akhir peperiksaan. 

Hari akhir ini hari yang paling sebuk kerana untuk menuai hasil usaha yang dah setahun dijalankan, akhir sekali dengan kehendak Allah berhimpunlah juga lebih kurang sepuluh orang. Maka penerangan dibuat dan apabila taskil dibuat dua orang telah memberi nama untuk keluar tiga hari. 

Aku dan sahabatku dah siap untuk keluar 4B jalan kaki dalam negeri. Dua orang yang bersedia keluar 3 hari itu ialah Alaudin dan Ku Halim bin Ku Hamid namanya sama dengan sahabat aku bezanya sahabat aku Ku Abd Halim Ku Taha. Alaudin ini dia hanya keluar 3 hari lepas itu dah tak mahu keluar lagi, sekarang pun aku jumpa dengannya dan ajak keluar 3 hari lagi, dia tak bersedia untuk keluar, sekarang ia jadi guru. Sementara Ku halim Ku hamid ini dia merupakan kawan baik aku, kawan yang selalu buat bising dan merayau, dia telah keluar 3 hari dan apabila pulang dari 3 hari dia mempunyai semangat untuk meneruskan usaha agama, Alhamdulillah apabila dia menyambung pelajarannya di UKM dia menjadi fikirman di sana dan orang yang korban, apabila tamat belajar keluar 4 bulan, sekarang menjadi Prof penuh di UiTM Shah Alam, Prof Dr Ku Halim Ku Hamid, mukanya selalu keluar kat kaca TV dalam program Inovasi. Sudah lama aku tak berjumpa dengannya, kami memanglah sahabat yang paling baik banyak kesah kami (Kalau hang baca tulisan ini hang ingatlah kat aku). 

Seorang lagi sahabat kami dia tidak datang dalam perhimpunan kerana nak balik Kuala Lumpur, di Kuala Lumpur dia telah keluar 3 hari, katanya dia memang berminat untuk ikut dakwah apabila mendengar dari kami. Namanya Yusuf bin Said dari Limbang Sarawak, dia sambung pelajar kat UM dan pulang ke Limbang telah mulakan usaha di sana, satu masa aku telah keluar 40 hari di Limbang banyak aku telah jumpa karkun hasil daripada usaha beliu, kini Yusuf ada kat Miri.

Tersebutlah kesah aku dan sahabatku Ku Abd Halim kami telah bersiap untuk keluar 4 bulan. Pada Nov 1980 bersama dengan kami lagi 2 orang pelajar namanya Haris dari Jitra dan seorang lagi Aris Awang dari Alor Setar tamat SPM. Kami berangkat ke Kuala Lumpur dan sampai kat Masjid India kami diputus untuk keluar dengan jemaah 4bulan jalan kaki dari Terangganu ke Penanti, Pulau Pinang. Amer jemaah kami ialah Hj Harun dari Tanah Merah Kelantan. 

Sebelum berangkat , di masjid India, Hj Marwan memberitahu kami bahawa kami merupakan orang Kedah yang pertama keluar 4 bulan jalan kaki di Malaysia, masa itu Hj Marwan dah bekerja di ITM Shah Alam.

Alhamdulillah, kami selesai keluar 4 bulan dan pulang ke rumah masing-masing untuk meneruskan usaha. Ku Abd Halim dia layak untuk masuk universiti tapi dia menolaknya dan menyambung pelajaran agamanya di Pondok Penanti sehingga tamat pengajian dan keluar IPB setahun ikut nisab ulamak, dan sekarang dia mengajar di Pondok Penanti dan menjadi ahli Syura Markas Penanti. Sementara Aris bin Awang apabila pulang ke Alor Setar sempat keluar 3 hari bersama aku kat Alor Setar sekali dan masuk belajar kat ITM Shah Alam (tidak Habis) pulang kampong aktif dalam PAS dan pernah menjadi Ketua Pemuda PAS Kedah. Haris pula balik kampong dan membuka perniagaan sendiri, sebuk dan terus tidak keluar-keluar sampai sekarang, lama dah tak jumpa. Sementara aku pula sambung belajar kat UPM menjadi guru, sudah ada tiga orang cucu, sekarang kesihatan pun semakin kurang dan selalu berulang masuk hospital (anugerah Allah swt) tapi Alhamdulillah aku syukur pada Allah walau apapun keadaan aku Allah tetap memberi kebaikan kepada aku dan keluarkan aku 3h dan 40 hari setiap tahun ikut nisab termasuk usaha masturat sampai sekarang dan aku berdoa semoga Allah kekalkan aku dan semua sahabat aku dan semua rakan usaha untuk tambahkan korban dan kekal dalam usaha agama Allah swt.

Jika diizinkan Allah aku akan menulis pengalaman keluar 4 bulan jalan kaki era permulaan jemaah jalan kaki bermula
1) Jemaah pertama dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang
2) Jemaah kedua dari Pulau Pinang ke Terangganu
3) Ketiga dari Terangganu ke Penanti (jemaah akulah)

Ibadat Makhluk Allah

http://musakolakedah.blogspot.com/2010/03/ibadat-makhluk-allah.html

Khamis, 4 Mac 2010

IBADAT MAKHLUK ALLAH

Bayan daripada maulana Luthfur Rahman r.alaih daripada Bangladesh, beliau adalah syura Bangladesh. Bayan dibuat di Istimak Penanti pada tahun 1981, bayannya panjang tapi yang ini yang saya ingat, kerana kadang-kadang saya guna dalam bayan. Ia bayan dalam bahasa Arab (jika x salah ingatan saya)

Katanya "....... Allah jadikan cara-cara ibadat malaikat dan semua makhluk Allah, Allah kumpulkan dan jadikan ibadat tersebut dalam solat umat nabi saw. contoh yang diberi hanya pada makhluk yang kita nampak dalam kehidupan sekeliling kita sahaja.

1. Ada makhluk yg Allah cipta dalam keadaan Qiam sampai mati,
contoh, pokok kelapa dan semua pokok yang tegak macam rambutan, durian, manggis .
(pokok2 ini bukan sahaja Qiam tapi siap dengan tadah tangan lagi berdoa pd Allah iaitu dahannya keatas - ini saya sendiri tambah )

2. Ada makhluk yang dicipta Allah dalam keadaan Ruku` sampai mati, contoh

Kerbau, lembu kambing, singa, harimau dan semualah yang seumpamanya termasuk ayam itik, ( semua binatang ini apabila berjalan mereka tunduk pandangan kebawah tidak
mendongak keatas kerana berzikir pada Alklah kecuali jika ada bahaya atau mencari mangsa, mereka akan mendongak keatas )

3. Ada makhluk Allah yang Allah cipta dalam keadaan sujud sampai mati, contonya:

Ular, buaya, biawak dan pokok yang menjalar, ( ular dia akan panggung kepalanya bila dalam keadaan bahaya, jika ular ini bertukar dari keadaan sujud kepada keadaan rukuk maknanya kita dalam keadaan bahaya, . ini sebab dia sudah berubah daripada sunnah ciptaannya. biawak dan buaya mereka akan angkat kaki bila nak cari mangsa )

4. Ada makhluk Allah yang Allah cipta dalam keadaan duduk antara dua sujud contoh katak , katak apa pun keadaannya, kalau setinggi mana melompat pun apabila ia landing pasti dalam keadaan duduk antara dua sujud juga

Inilah sedutan bayan yang masih segar dalam ingatan saya.
Kalau kita pergi Zoo, cuba kita lihat buaya betapa khusyuknya ia sujud pada Allah tak bergerak-gerak walaupun lalat banyak menghurungnya. Jika kita lihat pokok-pokok yang tegak berdiri serta pokok menjalar, haiwan yang sedang berjalan dan katak yg sedang duduk kita bayangkan yang mereka ini sedang berzikir dan beribadat pada Allah dengan khusyuk. Cuba bangdingkan keadaan kita dengan mereka. Ingatlah semua ciptaan Allah, Allah tidak cipta dengan sia-sia, Maha suci Allah dan Maha Besar Allah, segala Puji hanya untuk Alla swt pemilik kerajaan langit dan bumi dan alam Ghaib ampunlah dosa kami dan peliharalah kami dari azab api neraka

Monday, March 2, 2020

Orang Makan Orang - part 3

http://musakolakedah.blogspot.com/2010/02/pengalaman-keluar-40-hari-dikawasan_24.html

Rabu, 24 Februari 2010

PENGALAMAN KELUAR 40 HARI DI KAWASAN "ORANG MAKAN ORANG" PART AKHIR

Maka kami dengan perasaan yang membara bertolak dari masjid bandar Pasi ke kampong di puncak gunung dengan berjalan kaki yang jaraknya agak jauh. Apabila sampai di kampong yang kami tujui itu yang mula2 menyambut kedatangan kami ialah sebuah gereja yang diperbuat daripada papan dan kayu, kemudian sekolah tadika mubaligh Kristian kemudian baru jumpa rumah orang kampong, berjalan lagi baru jumpa masjid , juga diperbuat daripada kayu dan papan yang agak lama.

Sampai di masjid kami mesyuarat dan terus menghantar jemaah khususi door to door, Alhamdulillah bila sahaja jumpa orang kampong yang diajak terus datang ke masjid terus duduk dalam taklim, pada hari pertama sahaja dah suku masjid orang kampong datang, jemaah sudah jadi gelabah sebab mereka ni tak nak balik rumah, makan yg dimasak hanya cukup untuk jemaah atau lebih sedikit. Jadi, orang khidmat tambah lagi masak makanan, semua makan tengah hari di masjid, lepas makan pun mereka juga tidak mahu pulang. 

Rupa-rupanya mereka ini berminat dengan agama sebab apabila kita terangkan pada mereka akan kelebihan amal agama ni mereka seronok nak belajar dan beramal, kami kena korbanlah tidur, dan buat beberapa halkah untuk mengajar asas solat seperti cara solat dan bacaan dalam solat, kebanyakan mereka tidak tahu bersolat, yang tahu pun banyak yang salah dalam melakukan ketertiban solat dan juga dalam bacaan mereka. Halkah ini berjalan sampai asar. 

Lepas asar, beri kelebihan dakwah dan ajak untuk keluar ziarah umumi rumah ke rumah, semua orang tempatan angkat tangan nak ikut, masya Allah hebat sungguh puak yang dahulunya makan orang kini telah mengangkat tangan dengan sungguh2 untuk buat kerja Nabi saw. 

Lepas minum petang terus buat adab ziarah cara Rasul saw, lepas tu tanya siapa yang nak jadi penunjuk jalan semua angkat tangan setelah mendengar kelebihan, begitu juga dengan jurucakap dan juga ameer jemaah, semua angkat tangan. 

Apabila ziarah dalam kampong bermula ramailah yang diajak terus datang masjid untuk mendengar takril atau ceramah iman di masjid hinggalah ke maghrib. 

Waktu solat maghrib, masjid dah separuh lebih penuh termasuk wanita dan kanak2. antara mereka ada yg tidak solat magrib. Waktu bayan lepas magrib semuanya duduk dengar bayan, apabila taskil dibuat untuk keluar jalan Allah , semua angkat tangan termasuk wanita dan kanak2. 

Lepas isyak semua ahli jemaah kumpulkan orang yang beri nama untuk diikhtilat. Malam tu kami terpaksa mentaakhirkan makan malam kerana makanan sudah tak cukup dan kita terpaksa melayan mereka yang kehausan agama, jadi kitalah kena ajar mereka. Pendek cerita kami makan malam lewat dan terus tidur, teramatlah letih satu hari tak rehat tapi seronok kerana dapat tiru macam sahabat Nabi saw..

Pendek cerita, besuk subuh ramai yang datang solat subuh, lepas bayan subuh pesan kepada mereka datang jam 8 pagi, sempatlah kami makan pagi, sebelum jam 8 pagi mereka dah sampai siap bawa petai, jering dan ulaman untuk jemaah makan, lepas mesyuarat kami bentuk jemaah khususi untuk pergi semua rumah-rumah di kampong tu.

Kami tinggal di situ saya tak ingat berapa hari, tapi lebih dari 4 hari, setiap hari kami tak pernah tidur siang kerana mengajar mereka solat. Dalam masa tu semua rumah kami tak tinggal semua kami ziarah dan jumpa penghuninya dan semua mereka datang ke masjid. 

11 orang telah azam untuk keluar 40 hari di Medan. Mereka kurang wang perbelanjaan untuk keluar 40 hari tapi kami mesyuarat dengan cara membeli ayam, beras dan apa sahaja yang jemaah boleh guna, semua makanan yg kami beli itu pun untuk ikram mereka makan, kerana mereka bersama kami dari pagi sampai malam dan makan bersama kami. 

Masa khususi saya teringat sampai sekarang bila saya dan seorang tempatan khususi sebuah rumah yang jauh terpencil dari kampong, rumahnya amat kecil dan uzur, bila saya sampai dan rahabar memberi salam, saya lihat seorang lelaki separuh umur membuka pintu, setelah diterangkan saya ini bapak dari Malaysia dalam dialek Batak yg saya tak faham, maka dia terus meluru pada saya dan memelok saya sambil menangis dan ia berkata, "Bapak, selama ini tiada seorang pun yang sudi datang ke rumah saya kerana kemiskinan saya, tapi hari ini saya syukur kerana bapak dari Malaysia datang jumpa saya di rumah yang buruk ini" itulah kurang lebih dialognya pada saya. 

Saya terangkan maksud kedatangan kami, tanpa banyak soal dia terus salin pakaian terus ikut kami ke masjid, dia merupakan orang yang terakhir kami jumpa. Selama beberapa hari kami di situ hubungan kami dengan penduduk kampong rupanya dah mesra, tak kira lelaki wanita dan kanak-kanak. Mereka cukup gembira selama kami berada di situ, mereka melayan kami, berhasrat untuk memberi makan pada kami tapi mereka miskin, yang mereka mampu beri kami makan ialah petai dan jering dan ulaman, ubi kayu itu saja tapi mereka ikhlas ikram kami.

Masa untuk kami pulang ke Medan dah tiba, pada pagi hari yang kami nak berangkat ke Medan membawa jemaah tunai 40 hari ke Medan seramai 11 orang menjadi kenyataan, semua penduduk datang ke masjid lelaki perempuan dan kanak2.

Setelah berkumpul amer sahab sendiri telah beri bayan hidayat dan adab perjalanan pada jemaah. Di sinilah suasana sedih dan pilu menyelubungi penduduk tempatan dan ahli jemaah, semuanya menangis dan apabila amer sahab mula berdoa semua orang tanpa segan silu menangis berhamburan air mata sungguh2 termasuk kanak2. 

Apabila habis doa, kami turun dari masjid untuk balik ke Medan semua penduduk berbaris untuk bersalam (wanita tidak salam dengan kami kerana amer sahab dah terangkan pada mereka tak boleh salam dengan lelaki bukan muhrim) dengan tangisan berpanjangan. 

Selesai salam kami pun berjalan sehinggalah sampai ke sekolah tadika mubaligh Kristian. Sampai sahaja kami di situ, kanak2 tadika dah siap berbaris menyambut dan bersalaman dengan kami sambil menangis, kami apa lagi lihat saja kanak kanak tadika ini menangis terus saja menangis lagi kerana belas kasihan pada mereka yang haus pada agama, jadi kami doa semoga 11 orang yang ikut kami tunai 40 hari akan menjadi aset untuk usaha agama di situ.

Setahun selepas itu di malam markas Masjid India Kuala Lumpur ada bayan daripada jemaah 4 bulan dari Indonesia, selepas bayan, tasykil dibuat di hadapan termasuklah ahli jemaah mereka, takdir Allah di hadapan saya ada seorang ahli jemaah tersebut, dia pun sibuk tasykil kiri kanan depan belakang, bila ditoleh ke belakang, saya tunduk kepala kerana akan ditasykil, terkejut saya apabila dia peluk saya dan sambil menyebut nama saya "Pak Musa" bila saya pandang rupanya dia adalah salah seorang dari 11 orang yang keluar 40 hari dulu, sekarang sedang keluar 4 bulan di Malaysia. 

Dia beri karguzari masjid tempatnya itu telah jadi mohallah yang kuat dan kerja amat maju, sebulan sekali mereka turun ke Medan untuk keluar 3 hari, 11 orang dulu tu menjadi tonggak kerja di sana.

Begitulah bila usaha atas agama dibuat sungguh-sungguh, puak yang dahulunya tak kenal agama dan makan orang lagi, boleh jadi daie yang ikhlas kepada Allah, semuga Allah terima kita dan seluruh umat Nabi saw untuk buat korban diri dan harta atas agama Allah swt.

Orang Makan Orang - part 2

http://musakolakedah.blogspot.com/2010/02/pengalaman-keluar-40-hari-dikawasan_23.html

Selasa, 23 Februari 2010

PENGALAMAN KELUAR 40 HARI DIKAWASAN "ORANG MAKAN ORANG" PART 2

.... Selepas solat subuh kami terus ikram 2 orang tempatan yang solat bersama kami. Kami terangkan maksud kerja dakwah Nabi saw. Kami bertanya ehwal orang-orang tempatan, mereka pun mula menceritakan kepada kami ehwal mereka. 

Mula-mula mereka bertanya kami adakah kami pernah dengar dan tahu ada orang makan orang di Indonesia. Kami mengiyakan pertanyaan mereka. Sebenarnya puak kamilah yang makan orang, iaitu puak BATAK PAK-PAK, puak inilah yang menghuni di kawasan Pasi yang kami nak usahakan usaha Nabi saw kepada mereka. 

Menyambung cerita lagi, kata mereka, bilangan orang Islam di Pasi ini adalah 30%, yang lainnya Kristian dan tidak ada agama atau menyembah pokok atau batu atau roh. Tahap agama amat rendah sama ada ilmu dan juga amal agama, Ustaz tidak datang mengajar kerana sukar untuk mencari ustaz. Untuk mendapat ustaz terpaksa mencari wang yang banyak, ini kerana terpaksa mendapat ustaz dari Medan, ongkos untuk diberi kepada ustaz amat tinggi mengikut demand dari ustaz itu sendiri, kemudian kena guna kereta untuk ambil dan hantar, mereka enggak mahu naik bas. Orang Pasi tidak ada wang , jadi bolehlah kita bayangkan bagaimana tahap ilmu dan amal mereka, dan betapa hari ini orang menggunakan agama untuk mencari manfaat dunia. 

Kami usaha selama 3 hari di masjid ini yang menjadi Masjid Daerah kawasan Pasi. Hari pertama saya kena khidmat taam, bila pergi sahaja ke pasar besar Pasi , masya Allah suasana dalam pasar macam dalam kuil, kiri kanan gambar patung yang seram, matanya terbeliak, gigi siong keluar, pendek kata, jika tak usaha atas agama memanglah suasana seram di mana tempat syaitan duduk di situ, tapi Nabi saw telah ajar kita doa masuk pasar dan kita cuma amal saja dengan yakin. Ikan basah tidak ada, cuma ada telur, ikan lengat yang tidak dibuang perut (X boleh makan), sayur-sayuran amat murah dan pisang bunga satu tandan cuma 200Rp sahaja (20 sen). 

Selama 3 hari itu ada seorang tempatan yang berminat dengan usaha Nabi saw, namanya Dermawan, dia setiap hari bersama kita, jadi amer sahab suruh kita semua ikramnya agar dapat ambil usaha Nabi saw. Jadi kita guna dia untuk khususi seluruh rumah yang ada di situ, tetapi orang tempatan tidak berapa berminat dan mereka tidak datang ke masjid , ini disebabkan kelemahan kami juga kurang tawajjuh dan doa. 

Hari keempat melalui Dermawan ini ia cadangkan satu masjid lagi yang terletak di puncak tanah tinggi Pasi tapi kena buat perjalanan yang jauh, ia merupakan kampong kecil di mana semua penduduknya Islam dan kerja mereka menanam kopi yang terbaik di Indonesia, kami jadi teruja dan bersemangat untuk pergi berusaha di sana, jadi di sinilah tempat sebenarnya kami betul-betul usaha yang mana kami memang teringat bagaimana sahabat usaha zaman jahiliah dahulu. 
INSYAALLAH BERSAMBUNG LAGI DI LAIN TAHUN

Orang Makan Orang - part 1

http://musakolakedah.blogspot.com/2010/02/pengalaman-keluar-40-hari-dikawasan.html

Selasa, 23 Februari 2010


PENGALAMAN KELUAR 40 HARI DIKAWASAN "ORANG MAKAN ORANG" PART 1

Assalamualaikum ini cerita semasa saya keluar 40 hari dikawasan orang makan orang. Masa tu saya masih student kat UPM Serdang tahun 1983. 

Karguzarinya begini, masa tu kalau nak keluar 4B @ 40H jika tidak musim ijtimak yg diadakan 3 kali setahun, kami akan berkumpul kat masjid India markas KL . Begitulah dengan jemaah kami datang dari KL, Melaka lagi saya tak ingat ada 6 orang.

Jemaah kami diputus oleh syura keluar di Medan, Indonesia. Masa itu hanya orang yg kahwin sahaja yg dibenar keluar di Indonesia. Tapi Allah telah pilih saya untuk keluar di sana. 

Bila dah bentuk jamaah dan kumpul mula bermesyuarat, perkara pertama kami mesyuarat ialah penerbangan, set taalim dan set taam. Tiket dan set Taalim kita beli kat KL, tapi set Taam beli kat Medan. Pendek cerita sampai di Markas Medan Masjid India Jalan Gajah dekat dgn Pasar, kami mesyuarat kumpul wang beli set taam. Jemaah ni semua orang dah kerja saya sahaja student, saya bawa RMnya cukup-cukup sahaja. 

Satu minggu kat Medan kami dihantar ke satu tempat baru, mengikut syura Medan, kami adalah jemaah pertama yang masuk ke situ. Sebelum berangkat Amer Medan karguzari tempat tersebut adalah kawasan Batak makan orang, banyak tawakkal dengan Allah. 

Kami bertolak pagi hari, menaiki bas menaiki bukit, jalannya langsung tidak elok dan merbahaya dipenuhi dengan gaung dan sekitar jalannya juga ada "Rampok Lompat"(perompak yang merompak bas, ia tunggu di atas pokok pada selekoh merbahaya, kemudian apabila bas tiba untuk belok bas akan perlahankan kelajuannya, perompak itu akan lompat di atas bumbung bas yang ada barang2, dibunuhnya penjaga barang dan dibuangnya barang2 di tepi jalan yang sedia menunggu kekawan perompaknya.) 

Perjalanan kami amatlah meletihkan tetapi dapat melihat pemandangan kejadian Allah yang cantik di mana kami melewati kawasan Batak, iaitu Kawasan Kabun Jahe, Beras Tagi dan Danau Toba. Danau Toba cukup indah di mana di tengah Danau terdapat sebuah pulau yg dinamakan pulau Somasir, pemandangan airnya biru amat cantik, di situ berkumpulnya tourist seluruh dunia menikmati keindahan ciptaan Allah tetapi tidak kenal Allah pencipta keindahan itu. 

Bas kami penuh sesak tanpa econd tapi semuanya menjadi asbab hidayat, sampai di stesyen bas kami terpaksa jalan kaki, kemudian sampai satu pos kami naik pula kuda padi yg kecil tapi pikul barang sahaja, kami kena mendaki bukit yang tinggi. cuacanya amat dingin, minyak masaknya 24jam beku, jadi kami berjalan dengan mendaki bukit dalam keadaan perut yang lapar, masa tu teringatlah perjuangan sahabat yang mendaki gunung menurun lurah dan merentasi padang pasir,hutan belantara dan meredah lautan, jadi kita punya pengorbanan sikit sahaja, itu Allah amat suka dan cinta pada sesiapa yg korbankan harta dan dirinya semata mata harap redha Allah dan hidayah Allah untuk ummat Nabi saw. 

Tempat yang kami kena usaha namanya PASI, kami sampai waktu malam, selesai solat kami khususi dulu, amer sahab putus saya dan seorang orang Melaka (nama dah lupa), khususi pak polisi, di situ kami adalah jemaah pertama yg usaha di situ jadi banyaklah soalan yg bukan2, akhir sekali dia mahu halau kami balik ke Medan, saya hanya zikir sahaja, yg bercakap orang Melaka kerana ia tua dari saya, berlakulah soaljawab akhirnya dengan kehendak Allah dia benarkan kami usaha di situ selama 2 minggu, ini semua adalah dengan kehendak Allah jua, dalam keadaan letih kami pulang lagi dengan berjalan agak jauh juga dari Masjid. Malam itu tiada orang tempatan yang tahu kami ada disitu. Pagi besoknya subuh adalah seorang @ dua orang tempatan datang solat, mereka apabila melihat kami terkejut beruk ,kerana tidak kenal siapa kami, tanpa bicara kami bersalaman dengan mereka kemudian solat, lepas solat bayan subuh (jadi bayan Taaruf) lepas habis mereka pun bertanya kami, ..................................... inyaallah akan bersambung lain tahun kesah orang makan orang part 2

Sunday, March 1, 2020

40 hari Langkawi

catatan ini saya ambil daripada blog Allahyarham Cikgu Musa Saad Kuala Kedah. saya bimbang dengan kematian arwah, blognya pun mungkin akan terhapus kerana tidak diupdate, jadi saya cuba selamatkan catatan-catatan berharga beliau.

https://www.facebook.com/musa.saad
http://musakolakedah.blogspot.com/

http://musakolakedah.blogspot.com/2010/

Khamis, 23 September 2010

LANGKAWI DI ERA SUMPAHAN MAHSURI


Bismillahirrohmanirrohim,

Cerita ini sebenarnya tiada kaitan dengan lagenda Mahsuri, tetapi aku pernahlah melihat cucu-cicit Mahsuri semasa kami keluar masturat 40 hari di Phuket, Thailand di kampung tempat tinggal cucu-cicitnya termasuklah Aisyah yang kisahnya gah diperkatakan satu masa dahulu di surat khabar perdana Malaysia, telah pun berkahwin baru-baru ini. 

Mereka tinggal di Kamala Phuket di tepi pantai, Pantai Kamala yang terkenal juga di sini, kami ada menjemputnya ke program masturat berhampiran rumahnya, mungkin ia ada hal lain menyebabkan dia tidak dapat hadir. Di Kamala banyaklah keturunannya, ada yang ikut jemaah dakwah dan memberi nusroh pada jemaah kami. 

Maaf sudah lari dari tajuk asal, sebenarnya aku nak kongsi pengalaman keluar di Langkawi era sumpahan Mahsuri sebelum zaman “Langkawi Moden” sekarang.

Pada tahun 1981 ketika itu aku baharu di tahun pertama di UPM Serdang, pada cuti akhir semesta jemaah kami telah dibentuk dan telah diputuskan untuk keluar ke Perlis,dan aku sebagai “amer sab” jemaah, dalam jemaah ini akulah kira yang muda sebab yang lain ada yang final year,2nd year dan juga beberapa orang kawan aku, 1st year yang baru pertama kali keluar 40 hari, kebanyakkan kami dari kolej kediaman ke 6. Yang aku masih ingat lagi kawan-kawan aku itu, Sani bin Palil dari Banting (sepupu penyanyi Malik Ridzwan), Yahya Atan (bukan pemain Hoki), Nasir bin Ismail (sekarang jadi Penolong Pengarah LKIM Kedah), Rasid bin Chik , Trangganu (sekarang Pensyarah Maktab di T ganu), Zakaria Ansori (Guru Besar di Jitra), ini semua kawan baik aku, pengalaman taskil mereka keluar masyaallah, yang tidak boleh aku lupa, bila sahaja exam sudah tamat, wujud satu suasana balik kampong di kampus, disemarakkan lagi dengan lagu dendangan Allahyarham Sudirman, lagu “Balik Kampong” terdengar dimana-mana. 

Sesiapa yang mendengarnya memanglah teringat akan suasana kampong dan keluarga yang sudah lama terpisah dan keiginin untuk balik kampong memang semakin membuak-buak, jadi kita “orang lama” ini kena sibuklah buat taskil dan antara mereka yang dah siap beg nak keluar 40 hari pun dah membeli tiket nak balik, apalagi aku ambil beg tersebut dan aku ambil juga tiket yang dah dibeli itu aku jual kepada orang lain, akhirnya keluarlah juga dia, Alhamdulillah. 

Jadi untuk mereka yang masih belajar kat IPT atau IPTS masa hari akhir peperiksaan itulah hari yang sangat penting untuk kerja usuli, jika tidak dibuat sungguh-sungguh akhirnya kita sahaja yang keluar.

Jemaah kami sebenarnya lebih dari sepuloh orang. Mula-mula kami berusaha di Perlis, masa itu jika tak salah aku markasnya di Kaki Bukit. (sekarang markas baru di Beseri tempat Jor utara). Di Perlis waktu itu usaha tidaklah kuat macam sekarang. Rakan seusaha tidak ramai, kami buat usaha secara sendirilah tanpa ada orang nusroh dan sebagainya, masjid-masjid yang dimesyauaratkan kami berusaha semuanya gersang bahkan kering kontang, satu orang pun tidak datang berjemaah, 5 waktu kami sahaja yang sembahyang tiada seorang pun orang tempatan yang datang, waktu itu ugama amatlah daif, orang tidak kenal agama, tidak kenal masjid, amatlah sedih. Seingat aku ada tiga masjid yang ada jemaah 5 waktu, masjid pertama, di Kuala Perlis kawasan nelayan, di sini hidup 5 waktu tetapi jemaah wanita lebih ramai dari lelaki, masih lagi aku ingat setiap pagi selama 3 hari berturut-turut seorang nenek ahli jemaah di masjid ini telah menyediakan sarapan pagi kepada kami, katanya dia suka melihat kami anak muda keluar dakwah , kami ini bagai anak cucunya. Waktu hendak pindah ke masjid lain, nenek ini siap dah tunggu dipintu masjid untuk bersalam dengan ahli jemaah semua. Aku seorang sahaja yang tidak bersalam kerana aku keluar ikut pintu lain.

Tempat kedua ialah Kampong Kolam, berdekatan dengan Padang Besar sempadan Thailand, jika tak salah ingatan aku surau, disini ada amal, gast, taklim dan keluar 3 hari (keluar di markas), satu keluarga yang buat usaha di sini iaitu keluarga Pak Kasim dan anak-anaknya, sekarang pun masih aktif, sudah tua, awal bulan mei baru ini keluar masturat 3hari di Alor Setar.

Masjid ketiga ialah Masjid Raja di Arau, usaha dibuat oleh Allahyarham cikgu Mad Isa dan Pak Syed (sekarang ada di Masjid Akar Peluru Alor Setar sudah uzur).

Pada suatu hari mesyuarat di markas, mereka telah putuskan untuk pecahkan jemaah kami menjadi dua untuk diserap dengan orang Perlis. Aku apalagi bangun menyinga membantah keputusan yang telah dibuat, kataku tiada tertib buat begitu. Akhirnya diputus jemaah kami buat usaha di langkawi, budak-budak ini memanglah seronok nak pergi Langkawi, apalagi mesyuarat sudah putus. 

Besok pagi kami pun bertolak dari kuala Perlis ke Langkawi dengan semangat untuk berusaha lebih gigih. Sebelum pergi mereka telah memberi nama-nama masjid yang kami perlu buat usaha. Bila sampai di Langkawi, tiada siapa yang menyambut kami, bukan saperti sekarang, telepon sahaja jemaah nak datang mereka telah tunggu dengan kenderaan menjemput jemaah. 

Kami hanya mesyuarat bagaimana nak bergerak, bas hanya ada sebuah sahaja waktu itu iaitu Bas MARA, yang membuat perkhidmatan keseluruh langkawi. Selain itu ada juga kereta sapu. Jumlah kereta amatlah sedikit, maklumlah era sumpahan Mahsuri lagi.Langkawi masa itu banyak hutan, jalan raya hanya sedikit sahaja. 

Setiap masjid yang kami buat usaha adalah juga orang berjemaah tetapi wanita lebih daripa lelaki. Semasa kami berusaha disini adalah juga orang baru yang ikut kami, salah seorang ialah Che Ani, masa itu dia masih remaja, dia tinggal bersama bapanya yang telah tua dan uzur di pantai Chenang, rumah mereka pun telah uzur tetapi tanah milik mereka sendiri. Che ani dia berminat, setiap hari selepas memandikan bapanya dia akan datang kepada kami dengan berbasikal. Dia mengikut kami agak banyak hari juga hingga jemaah kami mesra dengannya. Rezki datang siapapun tidak tahu, selepas langkawi diistihar Pulau Bebas Cukai, tanah milik mereka ini telah di beli oleh LADA, Che ani telah menjadi orang senang tetapi Alhamdulillah usaha agama dia tidak tinggalkan, masih buat usaha hingga sekarang, dia adalah satunya orang yang agak lama buat usaha di Langkawi hingga sekarang.

Semasa kami berusaha di Langkawi, semua perkara yang kami lakukan , samada ke kedai untuk khidmat masak, khususi imam atau AJK masjid atau sesiapa saja semuanya berjalan kaki hinggakan nak pindah masjid lain pun berjalan kaki juga, tiada orang yang nusroh. Tetapi budak student ini seronok dan buat kerja sunggoh-sunggoh. 

Waktu itu masih ramai lagi orang melayu yang memelihara anjing di rumah mereka, aku pun tidak tahu apa tujuan mereka memelihara anjing. 

Satu perkara yang anak buah aku seronok ialah, setiap masjid yang kita pergi selama 3 hari, ramailah orang kampong yang datang pada kami dengan membawa hadiah saperti makanan dan buah-buahan (bacang,Kuanin rambutan kekadang durian) selepas itu mereka berbual pula dengan jemaah, yang tak tahannya ialah yang datang itu semuanya wanita, ada makcik, ada kakak dan ada juga awek muda, yang “muda” inilah membuatkan mereka tak tahan berada lebih lama kat Langkawi, takut tergoda. 

Semua masjid layanannya saperti itu, akhir sekali mereka sebulat suara nak pulang ke Kedah pula, masa itu ijtimak Penanti sudah hampir, jadi keputusannya kami pulang ke Kedah terus ke Penanti dan habiskan cillah kami di Ijtimak Penanti. 

Walaupun masa itu kami masih muda remaja aku sendiri sebagai ameer saab umur baru masuk 20 tahun dan yang paling tua 22 atau 23 tahun, tetapi kerja dapat dijalankan dengan baik ikut tertib dan usul saperti dalam bayan hidayah, hubungan kami amat baik dan mesra, di Perlis ada seorang baru yang keluar dengan kami waktu itu dan sehingga sekarang dia masih aktif tetapi sudah uzur kerana tua, dia jika berjumpa aku di Perlis selalu beritahu kawannya bahawa dia mula-mula kenal dan keluar tabligh dengan jemaah aku. Di Langkawi ada 3 orang tua yang ikut kami dan mereka istiqomah keluar 40 hari seleapas itu. Sekarang ketiga-tiga mereka sudah meninggal dunia.

Sekarang semuanya menjadi kenangan, aku sering teringat akan mereka, waktu itu kebanyakan mereka baharu pertama kali keluar 40 hari, pengalaman mereka hanya “satu hari setengah” yang sudah keluar beberapa kali, bayangkan bagaimana waktu itu aku seorang sahaja yang sudah keluar 4 bulan, tanpa ada orang awam dengan kami. Aku pun pertama kali jadi Ameer saab,jadi teruklah sedikit (banyaklah) fikiran dan tenaga digunakan untuk ikram mereka sehingga cukup 40 hari.Sebab itulah sampai sekarang aku masih ingat pada mereka semua. 

Masa yang selalu aku ingat kepada kawan-kawan lama yang sama-sama berusaha keluar di jalan Allah ialah semasa aku terlantar di hospital (kerap masuk hospital dalam setahun 4 atau 5 kali, sekali masuk seminggu lamanya), masa ini aku sering teringat pada mereka.Ingatan ini menyebabkan air mataku mengalir seorangan. Idea untuk menulis ini pun aku dapat semasa aku berada dalam wad hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar.

Sekarang Rasyid sebagai Pensyarah di Maktab Perguruan di Trangganu, Zakaria, guru Besar di Jitra, ada azam mahu keluar semula, Naser timbalan Pengarah LKIM Kedah , ada azam mahu keluar semula tetapi sudah lumpoh sebelah badan, Mustafa aku berjumpa dia di Yala Thailand sudah beristeri tiga (Madu Tiga) dia taskil aku untuk tambah satu lagi, aku cakap pada dia lain tahun boleh kawin sekarang tak boleh, yang lain aku tak pernah jumpa sampai sekarang. 

Alangkah seronoknya aku sekiranya Allah swt mempertemukan aku semula dengan mereka di dunia ini.