Sunday, January 25, 2026

Ummu Ma'bad r.anha

 Di antara orang-orang yang namanya berkait rapat dengan peristiwa besar hijrah Rasulullah saw dari Mekah ke Madinah adalah tetamu kita yang penuh berkah, Ummu Ma’bad Al-Khuza’iyyah ra. (atau Ummu Mabad).

Tidak ramai yang mengenalinya pada zaman jahiliah kerana beliau bukanlah seorang tokoh yang terkenal. Dia hanyalah seorang wanita yang tinggal di pedalaman padang pasir yang serba sederhana. Dia hanya dikenali oleh persekitaran khemah dan saudara mara di sekelilingnya sahaja.

Namun, pada zaman Islam, dia menjadi wanita yang sangat terkenal kerana Nabi saw pernah menjadi tetamunya ketika sedang dalam perjalanan hijrah yang penuh berkah ke kota Madinah.

Nama sebenarnya ialah Ummu Ma’bad ra adalah ‘Atikah binti Khalid bin Munqidz. Beliau adalah saudara wanita dari Khunais bin Khalid Al-Khuza’i Al-Ka’bi, seorang sahabat Rasulullah saw yang cukup terkenal.

Khunais adalah seorang perwira gagah berani yang terlibat dalam proses pembebasan kota Mekah. Ketika itu, dia bergabung dengan pasukan pasukan yang dipimpin oleh Khalid bin Al-Walid ra dan terbunuh pada hari itu juga sebagai syahid, semoga Allah meredhainya.

Dalam perjalanan hijrah, Rasulullah saw melalui khemah berhampiran dengan Ummu Ma’bad Al-Khuza’iyyah, seorang wanita yang kuat dan cukup terkenal di kawasan pedalaman. Dia suka berdiri di halaman khemah dan sentiasa bersedia memberi makan dan minum kepada sesiapa sahaja yang lalu di hadapannya.

Ketika Nabi saw dan Abu Bakar ra sampai di situ, mereka bertanya, “Apakah engkau mempunyai makanan atau minuman?” Ummu Ma’bad menjawab, “Demi Allah, seandainya kami masih mempunyai sesuatu maka kami tidak akan segan-segan untuk menjamu kalian. Biri-biri tidak lagi mengeluarkan susu kerana tahun ini sangat kering.”

Rasulullah saw melihat seekor biri-biri kurus di sebelah khemah, lalu bertanya, “Wahai Ummu Ma’bad, mengapa biri-biri ini ada di sini!” Ummu Ma’bad menjawab, “Biri-biri ini tidak boleh bergabung dengan kumpulannya kerana tidak dapat berjalan jauh.”

Rasulullah saw bertanya lagi, “Apakah susunya masih ada?” Ummu Ma’bad menjawab, “Dia tidak mungkin dapat mengeluarkan susu lagi.” Rasulullah saw berkata, “Sudikah engkau mengizinkan aku memerah susunya?” Ummu Ma’bad menjawab, “Tentu. Jika kamu rasa biri-biri itu masih boleh diperah, maka lakukanlah.”

Rasulullah saw mendekati biri-biri itu dan menggosok susunya sambil membaca basmalah dan berdoa. Tiba-tiba, biri-biri tersebut merenggangkan kedua-dua kakinya dan air susunya mengalir deras.

Rasulullah saw meminta Ummu Ma’bad mengambilkan bekas besar yang biasa digunakan untuk minum sekeluarga. Kemudian, beliau memerah susu biri-biri tersebut sehingga bekas penuh. Beliau menyuruh Ummu Ma’bad agar meminumnya sehingga kenyang lalu disusuli oleh sahabat-sahabatnya, sedangkan beliau sendiri meminumnya sesudah mereka.

Kemudian beliau memerah lagi susu biri-biri tersebut dalam bekas sehingga penuh. Selepas itu, beliau mengucapkan selamat tinggal kepada Ummu Ma’bad untuk meneruskan perjalanan. Tidak lama kemudian, suami Ummu Ma’bad tiba di khemah sambil menghalau biri-biri yang kurus kering dan berjalan terpincang-pincang kerana lemah.

Apabila matanya melihat susu di dalam bekas, Abu Ma’bad terbeliak. Dia bertanya dengan hairan, “Dari mana engkau dapatkan susu ini, bukankah biri-biri kita tidak ada di sini? Di khemah juga tidak ada biri-biri yang susunya dapat diperah?”

Ummu Ma’bad menjawab, “Memang benar, demi Allah. Hanya saja, tadi ada seorang yang penuh berkah lalu di sini. Dia berkata begini dan begini, sedangkan penampilannya begini dan begini.”

Abu Ma’had berkata, “Demi Allah, aku yakin dialah orang yang sedang dicari oleh orang-orang Quraisy. Wahai Ummu Ma’bad, cuba terangkan ciri-cirinya kepadaku.”

Ummu Ma’bad menjelaskan, “Dia sangat tampan, wajahnya memancarkan cahaya, perawakannya sempurna, perutnya tidak besar dan kepalanya tidak kecil. Wajahnya sangat gagah, bola matanya hitam dan bulu matanya memanjang. Suaranya lantang, lehernya panjang, matanya sangat jernih, keningnya jelas dan rambut kepalanya sangat hitam. Apabila diam, dia kelihatan sangat berwibawa dan ketika bercakap, kelihatan sangat menakjubkan. Jika dilihat dari jauh maka dia kelihatan bersinar, dan jika dilihat dari dekat maka dia sangat indah dan menarik. Kata-katanya sedap didengar, nadanya serius, tidak terlalu pendiam dan tidak pula banyak bicara yang tidak berguna. Kata-katanya bagaikan berlian yang tersusun rapi. Perawakannya sedang tidak terhina kerana terlalu pendek dan tidak pula menyusahkan kerana terlalu tinggi. Dia bagaikan dahan pokok yang diapit oleh dua dahan lain sehingga dia kelihatan yang paling indah dan terbaik di antara ketiga-tiganya. Dia ditemani oleh beberapa sahabat yang selalu menjaganya. Jika dia berbicara, maka mereka akan mendengar dengan teliti. Jika dia menyuruh, maka mereka segera melakukannya. Dia benar-benar disegani dan layak menjadi pemimpin yang disukai oleh pengikut-pengikutnya. Dia tidak suka bermasam muka dan tidak suka mengeluh.”

Abu Ma’bad berkata, “Demi Allah, itulah ciri-ciri orang yang sedang dicari oleh orang-orang Quraisy dengan alasan yang telah mereka jelaskan. Sebenarnya, sejak awal aku sudah tertarik dan ingin menjadi pengikutnya dan jika ada kesempatan maka aku akan melakukannya.”

Serentak dengan peristiwa yang berlaku di khemah Ummu Ma’bad ini, di Mekah terdapat khabar angin yang menjelaskan kejadian di khemah Ummu Ma’bad. Semua orang mendengarnya tetapi tidak melihat siapa yang mengatakannya.

Semoga Allah, pemilik Arasy, memberi balasan terbaik kepada dua sahabat yang singgah di khemah Ummu Ma’bad. Persinggahan dan pemergian mereka membawa kebaikan. Sungguh bahagia, siapapun yang menjadi sahabat Muhammad.

Wahai keturunan Qushai, sesungguhnya segala perbuatan kalian yang telah digagalkan oleh Allah tidak layak dibalas dengan kemuliaan. Bani Ka’ab tidak perlu gelisah dengan anak perempuan mereka kerana khemahnya menjadi tempat berteduh bagi orang-orang mukmin. Tanyakan kepada saudara perempuan kalian tentang biri-biri dan bekasnya kerana jika kalian bertanya kepada biri-biri, maka dia pasti akan bersaksi.

Asma’ binti Abu Bakar berkata, “Selama ini kami tidak tahu ke mana Rasulullah saw pergi. Tetapi, ketika suara jin itu terdengar dari daerah rendah kota Mekah dan membacakan bait-bait puisinya tadi, sementara orang-orang Quraisy terus mengikutinya dan mendengar kata-katanya, tetapi tidak melihat orangnya sehingga suara itu keluar dari daerah tinggi kota Mekah maka kami mengetahui tujuan Rasulullah saw bahawa beliau menuju ke kota Madinah.”

Iman telah menyentuh lubuk hati Ummu Ma’bad sejak pertama kali mendengar dan melihat Rasulullah saw. Buktinya, ketika beberapa pemuda Quraisy yang mengejar Rasulullah saw menemuinya dan bertanyakan tentang Rasulullah saw, Ummu Ma’bad bimbangkan beliau sehingga tidak memberikan jawapan yang benar. Dia berkata, “Kalian bertanyakan sesuatu yang tidak pernah aku dengar sejak setahun yang lalu.”

Memeluk Islam

Ummu Ma’bad sangat kagum dengan berkat yang dia saksikan secara langsung dari Rasulullah saw sehingga beberapa ketika kemudian, dia dan suaminya menemui beliau dan berbaiat kepadanya untuk menjadi muslim yang baik.

Pada suatu hari, Ummu Ma’bad menghadiahkan seekor biri-biri kepada Nabi saw. Namun, begitu mengejutkan baginda menolaknya. Hal ini membuatkan Ummu Ma’bad tidak senang hati.

Para sahabat berkata, “Rasulullah saw menolak hadiahmu kerana beliau melihat susu biri-biri itu sangat baik.” Berdasarkan saranan ini, Ummu Ma’bad menghadiahkan lagi biri-biri yang tidak mempunyai susu dan ternyata Rasulullah saw menerimanya. Ummu Ma’bad sentiasa ingin menyenangkan Rasulullah saw.

Ummu Ma’bad ra. menghabiskan masa hidupnya di bawah naungan iman dengan tekun melaksanakan solat, puasa dan ibadah kepada Allah Taala. Hal ini membuat hatinya sangat senang dan bahagia. Dia hidup di dalam syurga dunia yang pastinya akan menghasilkan kehidupan baru di dalam syurga di akhirat kelak.

Ummu Mabad ra. sangat gembira jika mendengar berita tentang kemenangan umat Islam dalam perang melawan musuh mereka dan sangat sedih jika yang terjadi adalah sebaliknya. Hati Ummu Ma’bad ra selalu terpaut dengan Islam dan kaum muslimin sehingga dia mendapat berita duka yang sangat menyedihkan iaitu berita kewafatan Rasulullah saw.

Kesedihan Ummu Ma’bad ra. tidak terperi sehingga hatinya hampir hancur. Dia sentiasa teringat pertemuan pertamanya dengan Rasulullah saw, iaitu ketika beliau singgah di khemahnya dalam rangkaian perjalanan hijrah ke Madinah.

Namun, Ummu Ma’bad ra, tidak larut dalam kesedihannya, dia tahu bahawa sikap redha adalah kunci segala kebaikan sehingga dia bersabar, redha dan menyerahkan kesedihan pemergian Nabi saw kepada Allah SWT, agar mendapat pahala orang-orang yang sabar. Wallahualam.

 

Sumber: Mahmud Al-Mishri. 2006. 35 Sirah Shahabiyah (35 Sahabat Wanita Rasulullah saw.). Jilid 2. Bandung: Al-I’tishom.

No comments:

Post a Comment